Anding Indrawani

Anding Indrawani Zaini (lahir 25 April 1983) atau lebih dikenali sebagai Anding Indrawani merupakan salah seorang penyanyi , pengacara dan pelakon Malaysia. Beliau ialah kelahiran Melanau/Bidayuh dan dilahirkan pada 25 April 1983 di Hospital Umum Sarawak, Kuching. Mula dikenali sebagai salah seorang peserta Akademi Fantasia 2. Namun, penglibatannya dalam bidang seni bermula sejak kecil lagi memandangkan ibu dan ayah beliau begitu banyak bergiat dalam bidang seni. Ayahnya Zaini Oje@Ozea merupakan seorang aktivis seni, penyajak dan penggiat teater di Sarawak. Manakala ibunya seorang guru Inggeris dan juga guru muzik yang turut mengendalikan beberapa kumpulan nasyid dan koir di sekolah beliau mengajar.Anding Indrawani memulakan pendidikannya di Sekolah Rendah Agama Datuk Haji Abdul Kadir Hassan, Kuching dan seterusnya menamatkan zaman persekolahannya di Sekolah Menengah Kebangsaan Cheras, Kuala Lumpur pada tahun 2000. Beliau seterusnya melanjutkan pengajian ke Universiti Teknologi MARA di Shah Alam di Fakulti Seni Persembahan dalam bidang seni layar atau skrin. Dari situ, minatnya dalam bidang seni kian menebal. [1]